Khamis, 31 Januari 2013

Majlis Pelantikan Pemimpin Unit HEM & Unit Kokurikulum


     Umum mengetahui MOZAC telah melahirkan ramai cerdik pandai dan tidak kurang juga yang menjadi peneraju atau pemimpin sesebuah organisasi. Kesinambungan dari itu, satu majlis Pelantikan Pemimpin Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Kokurikulum telah diadakan pada 23 Januari 2013 bertempat di Dataran Tun Mamat. Pada majlis tersebut, seramai 34 orang pelajar telah dianugerahkan watikah pelantikan Unit Hal Ehwal Murid dan 39 orang pelajar dianugerahkan watikah pelantikan Unit Kokurikulum. Majlis ini merupakan satu medium pengiktirafan terhadap penglibatan para pelajar yang bergerak aktif dalam aktiviti hal ehwal murid dan kokurikulum.

   Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya serta pemeriksaan barisan oleh Inspektor Mohd Zaki bin Zainal. Bacaan ikrar telah diketuai oleh ketua pelajar iaitu Saudara Shamir bin Roslan.

 
    Pelbagai nasihat berguna telah disampaikan oleh Tuan Pengetua, Tn Hj. Hassan b. Topit kepada para pelajar terutamanya pelajar yang dilantik sebagai pemimpin. Nasihat tuan pengetua, pelajar seharusnya menggunakan peluang yang diberikan oleh pihak sekolah untuk menggilap bakat kepimpinan yang ada dalam diri. Kepimpinan Rasullullah harus dicontohi dan menjadi ikutan kerana kewibawaan baginda dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi.

     Lontaran kata-kata semangat telah diberikan oleh Inspektor Mohd Zaki ketika menyempurnakan perasmian majlis tersebut. Menurut Inspektor Mohd Zaki juga, MOZAC telah melahirkan ramai pelajar yang berkualiti yang telah mengharumkan nama MOZAC dan negeri Melaka hingga ke peringkat antarabangsa. Seharusnya generasi pelajar pada hari ini menjadi kesinambungan kepada kejayaan yang telah dicapai oleh pelajar terdahulu kerana pelajar hari ini merupakan pemimpin di masa hadapan.. Tahniah.. MOZAC BOLEH!!!




- Di Sini Lahirnya Pemimpin Masa Hadapan -













Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan 1Malaysia


         Penyerahan bantuan Persekolahan 1Malaysia 2013 telah diadakan dalam satu majlis yang meriah bersekali dengan Majlis Malam Penutup Minggu Silaturrahim Tingkatan 1 sesi 2013 pada 18 Januari 2013 bertempat di Dewan Sultan Muzaffar Syah. Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, Encik  Abdul Mutalib Othman, YDP PIBG Encik Roslan bin Mat Nong serta ibu bapa dan guru-guru.

          YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam telah sudi hadir dan menyampaikan sumbangan RM100 kepada semua pelajar pada malam tersebut. Kehadiran Ketua Menteri pada malam itu membuktikan keprihatinan pihak kerajaan membantu pelajar memulakan sesi pembelajaran. Ibu bapa juga dapat menarik nafas lega kerana sumbangan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban kewangan dan tanggungan mereka dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak. 


          Majlis pada malam tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan oleh pelajar Tingkatan 1 dalam sketsa yang menarik dan juga persembahan nyanyian serta persembahan kebudayaan.








Isnin, 14 Januari 2013

Lawatan Ketua Menteri Melaka ke Mozac Ketika Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1


     Sesi persekolahan bagi tahun ini telah bermula pada 2 Januari 2013 manakala sesi pendaftaran bagi pelajar tingkatan 1 tahun 2013 telah diadakan pada 7 Januari 2013 dengan kemasukan seramai 124 orang pelajar pada sesi pembelajaran tahun ini.

     Sesi taklimat telah diberikan oleh Penolong Kanan Kurikulum dan Ko-Kurikulum, tidak ketinggalan juga ucapan aluan dari Pengetua, Tn Hj. Hassan b. Topit turut diberikan kepada pelajar-pelajar baru. Tuan Pengetua juga telah merasmikan program 5S di peringkat sekolah. Program ini diharapkan dapat membentuk pelajar-pelajar agar mengutamakan kebersihan, kecekapan, penyeragaman dan keselamatan di sekolah.

     Majlis dimeriahkan oleh kehadiran Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Encik Roslan bin Mat Nong serta Ahli Jawatankuasa PIBG dan Yang Dipertua Alumni serta Ahli Jawatankuasa Alumni. Yang Dipertua PIBG telah menyampaikan sumbangan 'goodie bags' sebagai cenderahati kepada pelajar yang mendaftar pada hari tersebut.

     Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali b. Mohd Rustam yang tiba pada waktu tengahari.  YAB Ketua Menteri telah meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar dan ibubapa. Ketua Menteri juga telah melawat bangunan asrama puteri, tapak surau baru dan kawasan pembangunan asrama baru. Kehadiran YAB Ketua Menteri telah membakar semangat para pelajar dalam menempuh hari-hari di MOZAC sepanjang sesi pembelajaran nanti.

     Pada tarikh tersebut juga MOZAC turut menerima kunjungan lawatan kumpulan pelajar  dari Indonesia dan pelajar dari Tokuyama Super Science High School, Yamaguchi Perfecture, Jepun. Pelbagai aktiviti menarik terutamanya permainan tradisional diadakan untuk pelajar-pelajar tersebut di antaranya permainan sepak takraw, congkak, capteh dan batu seremban. Rombongan lawatan juga telah dibawa ke Zoo Melaka untuk sesi lawatan seterusnya.

     Diharapkan sesi persekolahan 2013 dimulakan dengan azam dan semagat MOZAC BOLEH! Tahun ini juga diharapkan warga MOZAC akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kecemerlangan MOZAC dapat dikekalkan.