Khamis, 31 Januari 2013

Majlis Pelantikan Pemimpin Unit HEM & Unit Kokurikulum


     Umum mengetahui MOZAC telah melahirkan ramai cerdik pandai dan tidak kurang juga yang menjadi peneraju atau pemimpin sesebuah organisasi. Kesinambungan dari itu, satu majlis Pelantikan Pemimpin Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Kokurikulum telah diadakan pada 23 Januari 2013 bertempat di Dataran Tun Mamat. Pada majlis tersebut, seramai 34 orang pelajar telah dianugerahkan watikah pelantikan Unit Hal Ehwal Murid dan 39 orang pelajar dianugerahkan watikah pelantikan Unit Kokurikulum. Majlis ini merupakan satu medium pengiktirafan terhadap penglibatan para pelajar yang bergerak aktif dalam aktiviti hal ehwal murid dan kokurikulum.

   Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya serta pemeriksaan barisan oleh Inspektor Mohd Zaki bin Zainal. Bacaan ikrar telah diketuai oleh ketua pelajar iaitu Saudara Shamir bin Roslan.

 
    Pelbagai nasihat berguna telah disampaikan oleh Tuan Pengetua, Tn Hj. Hassan b. Topit kepada para pelajar terutamanya pelajar yang dilantik sebagai pemimpin. Nasihat tuan pengetua, pelajar seharusnya menggunakan peluang yang diberikan oleh pihak sekolah untuk menggilap bakat kepimpinan yang ada dalam diri. Kepimpinan Rasullullah harus dicontohi dan menjadi ikutan kerana kewibawaan baginda dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi.

     Lontaran kata-kata semangat telah diberikan oleh Inspektor Mohd Zaki ketika menyempurnakan perasmian majlis tersebut. Menurut Inspektor Mohd Zaki juga, MOZAC telah melahirkan ramai pelajar yang berkualiti yang telah mengharumkan nama MOZAC dan negeri Melaka hingga ke peringkat antarabangsa. Seharusnya generasi pelajar pada hari ini menjadi kesinambungan kepada kejayaan yang telah dicapai oleh pelajar terdahulu kerana pelajar hari ini merupakan pemimpin di masa hadapan.. Tahniah.. MOZAC BOLEH!!!




- Di Sini Lahirnya Pemimpin Masa Hadapan -