Isnin, 29 April 2013

Majlis Anugerah Cemerlang (MAC) 2013

           Tahniah diucapkan kepada para penerima anugerah pada Majlis Anugerah Cemerlang (MAC) yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Sultan Muzaffar Syah pada 27 April 2013.  Majlis tersebut telah dirasmikan oleh  Naib Caunselor Universiti Malaya (UM), Yg. Bhg. Tan Sri Dr. Ghauth b. Jasmon. Beliau turut merasmikan laman web sekolah Mozac yang baru iaitu http://www.muzaffarsyah.edu.my 
          Anugerah - anugerah kecemerlangan telah disampaikan oleh tetamu kehormat, YDP PIBG Encik Roslan Mat Nong dan YDP Alumni. Dalam majlis ini juga, panitia - panitia yang cemerlang dalam kedua - dua peperiksaan turut diberikan piala pusingan dan sijil penghargaan. Istimewanya pada majlis ini, ibu bapa kepada penerima anugerah itu sendiri yang menyampaikan hadiah tersebut kepada anak mereka. Berikut merupakan senarai nama penerima anugerah pelajar terbaik PMR dan SPM 2012:
  1. PMR - Nur Ain Husna bt Johan
  2. SPM - Muhd Nabil b. Salim
Selain itu, penerima anugerah Touch The Sky PIBG pula terdiri daripada :
  1. PMR - Nur Ain Husna bt Johan yang menerima sebuah laptop
  2. SPM - Adlina bt Abd Rahim yang menerima sebuah iPad
Majlis kemudiannya diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat. 


Gambar-gambar sekitar majlis tersebut :



























Selasa, 16 April 2013

Acara Tahunan Mozac - Panca D'5 Meriah

     Pada 13 hingga 15 April 2013 lalu, telah berlangsung acara tahunan Mozac, Panca D'5 yang dianjurkan oleh pelajar tingkatan 5. Pelbagai aktiviti yang di adakan termasuklah jualan makanan dan minuman serta gerai permainan, bertujuan untuk mengumpul dana untuk disumbangkan kepada pihak sekolah. Dana ini juga akan di gunakan untuk membeli jubah graduasi untuk pelajar tingkatan 5 yang tamat persekolahan pada tahun ini. Pelbagai pertandingan turut diadakan, iaitu pertandingan gerai terbersih dan tercantik serta pertandingan jualan gerai tertinggi. En. Roslan b. Mat Nong, selaku YDP PIBG telah menyumbangkan hadiah berupa 22 hamper pertandingan, tiga buah khemah untuk para tetamu dan wang tunai RM 300. Turut menyumbang ialah seorang lagi ibu bapa, En. Roslan yang menyumbangkan hadiah berupa hamper. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dan syabas kepada para pelajar yang telah menganjurkan acara tahunan kali ini dengan jayanya.

Sekitar acara Panca D'5 :



Para pelajar di acara Panca D5

 Gerai Tercantik & Terbersih : 5 Beta

 Gerai Jualan Tertinggi : 5 Sigma


Kredit gambar oleh blog MOZAC

Rabu, 10 April 2013

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Parlimen Bukit Katil

     Pada 7 April lalu, telah diadakan satu Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM bagi Parlimen Bukit Katil yang bertempat di Dewan Seri Negeri Melaka. Majlis yang bermula sekitar jam 1.30 petang itu dihadiri pelajar Mozac yang mendapat keputusan cemerlang SPM 7A ke atas.  Pada majlis tersebut juga, Mozac telah menerima anugerah cemerlang sekolah terbaik bagi Parlimen Bukit Katil dan Negeri Melaka bagi keputusan SPM 2012 .


Tahniah Mozac dan para pelajar di atas penghargaan tersebut.



Anugerah Cemerlang sekolah terbaik keputusan SPM 2012 

Jumaat, 22 Mac 2013

Sekalung Tahniah kepada Pelajar Straights A SPM 2012





TAHNIAH !!!

KEPADA SEMUA PELAJAR SPM 2012 YANG MENDAPAT STRAIGHTS A

         Saya dan warga AJK PIBG mengucapkan TAHNIAH kepada pelajar-pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang dan straights A dalam peperiksaan SPM 2012 yang diumumkan semalam, 21 Mac 2013.  Semoga kejayaan ini memberi lebih semangat dan keyakinan bagi menempuh pelbagai cabaran di masa hadapan.

          Kepada yang kurang cemerlang, saya percaya anda telah berusaha yang terbaik. Yakinlah ada hikmah menanti anda. Usah bersedih dan berputus asa, semoga ianya menjadi pemangkin kepada anda untuk berusaha dengan lebih gigih lagi di masa hadapan.
YAKINLAH, USAHA TANGGA KEJAYAAN.

Saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar lepasan SPM 2012 yang bakal menempuhi alam yang lebih mencabar selepas ini.
Terima kasih kerana mengharumkan nama Mozac dengan kejayaan anda.

           Di sini, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan Tahniah kepada Pengetua, Guru-guru Penolong Kanan dan semua guru Mozac yang terlibat dalam SPM 2012 atas budi dan jasa telah mendidik pelajar-pelajar sehingga mengekalkan prestasi Mozac sebagai sekolah terbaik di negeri Melaka. Syabas!
   

Terima Kasih Cikgu, KEJAYAAN ADALAH MILIK KITA SEMUA.

Selasa, 12 Mac 2013

Wind Orkestra Mozac di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Awam Negeri Melaka (MAPAN) 2013

       


          Wind Orkestra Mozac telah dijemput oleh Jabatan Ketua Menteri Melaka untuk mengadakan persembahan orkestra di sebuah majlis makan malam MAPAN 2013 bagi meraikan penerima-penerima anugerah cemerlang dan pesara-pesara yang berkhidmat di sektor awam Negeri Melaka. Pasukan Wind Orkestra terdiri daripada 60 orang ahli dan diiringi seorang guru En. Shahril Sardi telah membuat persembahan yang mantap. Majlis makan malam itu juga dihadiri oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam serta dif-dif  kehormat yang lain. Segala kos makan dan saguhati untuk Wind Orkestra telah ditanggung oleh Jabatan Ketua Menteri Melaka. Jemputan ini juga adalah hasil kerjasama oleh YDP PIBG Mozac.






Persembahan yang sangat  mantap!  




Persembahan yang  menyakinkan!




Persembahan Wind Orkestra Mozac di Hatten Hotel bagi Majlis Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri Melaka 2013




Rabu, 6 Mac 2013

YDP PIBG Ikon Kebanggaan Mozac

         
            YDP PIBG Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, En. Roslan bin Mat Nong telah menerima Anugerah Emas Tokoh PIBG daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam sempena Karnival PIBG Sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Bukit Katil, Melaka, baru-baru ini.


- Tahniah YDP !!! -







Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5hb Mac 2013


Anugerah Mantan Yang Dipertua PIBG



Anugerah Tokoh PIBG - Emas

Rabu, 27 Februari 2013

Karnival PIBG Parlimen Bukit Katil 2013


           Satu Karnival PIBG Parlimen Bukit Katil akan diadakan pada hari Sabtu, 2 Mac 2013 bertempat di Dewan Tun Ali, Bukit Katil Melaka.  PIBG MOZAC turut serta mengambil bahagian dalam jualan gerai pada hari karnival tersebut. Gerai PIBG MOZAC diuruskan oleh AJK PIBG MOZAC iaitu En. Nasarudin, Pn. Salbiah, Dr. Ishaireen, guru-guru MOZAC serta pelajar. 

          YDP PIBG En. Roslan bin Mat Nong telah di lantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hadiah dan Cenderamata oleh YAB Ketua Menteri Melaka bagi jawatankuasa induk. Pelbagai pertandingan dan hadiah akan diadakan seperti pertandingan gerai terbersih dan ceria, pertandingan jumlah jualan gerai tertinggi dan cabutan nombor bertuah. Semua warga MOZAC dan para ibu bapa di jemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi gerai PIBG MOZAC dan Karnival PIBG Parlimen Bukit Katil 2013.


-Ayuhlah beramai-ramai ke Karnival PIBG- 















Pertandingan Wind Orkestra SBP Peringkat Kebangsaan

          
          Pertandingan orkestra SBP peringkat kebangsaan akan berlangsung di Kedah pada 1 hingga 5 Mac 2013. Seramai 60 peserta menyertai pertandingan ini. YDP PIBG bermurah hati memberi sumbangan peribadi berupa wang tunai dan cenderahati (goodie bag) berisi makanan ringan seperti roti dan coklat serta minuman sebagai bekalan dalam perjalanan ke sana. 

         Pihak YDP turut membantu dalam menguruskan jamuan makan untuk seluruh pasukan orkestra, atas kerjasama pejabat Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis. Semoga pasukan orkestra MOZAC menempa kejayaan seterusnya mengharumkan lagi nama MOZAC dalam pertandingan ini. Pihak YDP PIBG mendoakan keselamatan dan kesihatan semua ahli pasukan dan guru pengiring pergi dan balik sepanjang berada di sana. 

          Ucapan ribuan terima kasih kepada cikgu Sharil dan guru pengiring yang terlibat iaitu En Mohd Hasifian dan Puan Wahida Saul Hamid atas perhatian dan bimbingan yang diberikan kepada para pelajar sepanjang pertandingan berlangsung. Semoga dengan izin Allah S.W.T, pasukan orkestra MOZAC memperolehi kejayaan sekaligus mencipta sejarah manis buat seluruh warga MOZAC.


Daripada,
YDP PIBG MOZAC 2012



- Selamat berjaya pasukan orkestra MOZAC !!! -






Khamis, 31 Januari 2013

Majlis Pelantikan Pemimpin Unit HEM & Unit Kokurikulum


     Umum mengetahui MOZAC telah melahirkan ramai cerdik pandai dan tidak kurang juga yang menjadi peneraju atau pemimpin sesebuah organisasi. Kesinambungan dari itu, satu majlis Pelantikan Pemimpin Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Kokurikulum telah diadakan pada 23 Januari 2013 bertempat di Dataran Tun Mamat. Pada majlis tersebut, seramai 34 orang pelajar telah dianugerahkan watikah pelantikan Unit Hal Ehwal Murid dan 39 orang pelajar dianugerahkan watikah pelantikan Unit Kokurikulum. Majlis ini merupakan satu medium pengiktirafan terhadap penglibatan para pelajar yang bergerak aktif dalam aktiviti hal ehwal murid dan kokurikulum.

   Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya serta pemeriksaan barisan oleh Inspektor Mohd Zaki bin Zainal. Bacaan ikrar telah diketuai oleh ketua pelajar iaitu Saudara Shamir bin Roslan.

 
    Pelbagai nasihat berguna telah disampaikan oleh Tuan Pengetua, Tn Hj. Hassan b. Topit kepada para pelajar terutamanya pelajar yang dilantik sebagai pemimpin. Nasihat tuan pengetua, pelajar seharusnya menggunakan peluang yang diberikan oleh pihak sekolah untuk menggilap bakat kepimpinan yang ada dalam diri. Kepimpinan Rasullullah harus dicontohi dan menjadi ikutan kerana kewibawaan baginda dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi.

     Lontaran kata-kata semangat telah diberikan oleh Inspektor Mohd Zaki ketika menyempurnakan perasmian majlis tersebut. Menurut Inspektor Mohd Zaki juga, MOZAC telah melahirkan ramai pelajar yang berkualiti yang telah mengharumkan nama MOZAC dan negeri Melaka hingga ke peringkat antarabangsa. Seharusnya generasi pelajar pada hari ini menjadi kesinambungan kepada kejayaan yang telah dicapai oleh pelajar terdahulu kerana pelajar hari ini merupakan pemimpin di masa hadapan.. Tahniah.. MOZAC BOLEH!!!




- Di Sini Lahirnya Pemimpin Masa Hadapan -













Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan 1Malaysia


         Penyerahan bantuan Persekolahan 1Malaysia 2013 telah diadakan dalam satu majlis yang meriah bersekali dengan Majlis Malam Penutup Minggu Silaturrahim Tingkatan 1 sesi 2013 pada 18 Januari 2013 bertempat di Dewan Sultan Muzaffar Syah. Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, Encik  Abdul Mutalib Othman, YDP PIBG Encik Roslan bin Mat Nong serta ibu bapa dan guru-guru.

          YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam telah sudi hadir dan menyampaikan sumbangan RM100 kepada semua pelajar pada malam tersebut. Kehadiran Ketua Menteri pada malam itu membuktikan keprihatinan pihak kerajaan membantu pelajar memulakan sesi pembelajaran. Ibu bapa juga dapat menarik nafas lega kerana sumbangan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban kewangan dan tanggungan mereka dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak. 


          Majlis pada malam tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan oleh pelajar Tingkatan 1 dalam sketsa yang menarik dan juga persembahan nyanyian serta persembahan kebudayaan.








Isnin, 14 Januari 2013

Lawatan Ketua Menteri Melaka ke Mozac Ketika Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1


     Sesi persekolahan bagi tahun ini telah bermula pada 2 Januari 2013 manakala sesi pendaftaran bagi pelajar tingkatan 1 tahun 2013 telah diadakan pada 7 Januari 2013 dengan kemasukan seramai 124 orang pelajar pada sesi pembelajaran tahun ini.

     Sesi taklimat telah diberikan oleh Penolong Kanan Kurikulum dan Ko-Kurikulum, tidak ketinggalan juga ucapan aluan dari Pengetua, Tn Hj. Hassan b. Topit turut diberikan kepada pelajar-pelajar baru. Tuan Pengetua juga telah merasmikan program 5S di peringkat sekolah. Program ini diharapkan dapat membentuk pelajar-pelajar agar mengutamakan kebersihan, kecekapan, penyeragaman dan keselamatan di sekolah.

     Majlis dimeriahkan oleh kehadiran Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Encik Roslan bin Mat Nong serta Ahli Jawatankuasa PIBG dan Yang Dipertua Alumni serta Ahli Jawatankuasa Alumni. Yang Dipertua PIBG telah menyampaikan sumbangan 'goodie bags' sebagai cenderahati kepada pelajar yang mendaftar pada hari tersebut.

     Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali b. Mohd Rustam yang tiba pada waktu tengahari.  YAB Ketua Menteri telah meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar dan ibubapa. Ketua Menteri juga telah melawat bangunan asrama puteri, tapak surau baru dan kawasan pembangunan asrama baru. Kehadiran YAB Ketua Menteri telah membakar semangat para pelajar dalam menempuh hari-hari di MOZAC sepanjang sesi pembelajaran nanti.

     Pada tarikh tersebut juga MOZAC turut menerima kunjungan lawatan kumpulan pelajar  dari Indonesia dan pelajar dari Tokuyama Super Science High School, Yamaguchi Perfecture, Jepun. Pelbagai aktiviti menarik terutamanya permainan tradisional diadakan untuk pelajar-pelajar tersebut di antaranya permainan sepak takraw, congkak, capteh dan batu seremban. Rombongan lawatan juga telah dibawa ke Zoo Melaka untuk sesi lawatan seterusnya.

     Diharapkan sesi persekolahan 2013 dimulakan dengan azam dan semagat MOZAC BOLEH! Tahun ini juga diharapkan warga MOZAC akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kecemerlangan MOZAC dapat dikekalkan.


Isnin, 31 Disember 2012

Selamat Kembali ke Sekolah


PIBG MOZAC mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar Tingkatan Satu, Dua, Tiga, Empat dan Lima.

Semoga Tahun 2013 memberi kejayaan yang lebih cemerlang pada anda semua.

Berusahalah dengan bersungguh-sungguh hingga mencapai kejayaan.